Selasa, 20 Disember 2011

HANYA ILMU MEMBEZAKAN MANUSIA DENGAN HAIWAN

Rasulullah S.A.W sentiasa mengajar dan mendorong  umatnya agar mendalami ilmu wahyu , supaya tidak terjebak dalam perangkap kejahilan
Tanpa pertambahan Ilmu menjadikan kehidupan harian manusia tidak diberkati Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “ Apabila datang kepadaku suatu hari, sedang pada hari itu tidak bertambah ilmu pengetahuanku untuk mendekatkan diriku kepada Allah S.W.T, maka tiada akan diberkati bagiku, sejak terbitnya matahari pada hari itu.”

Hadis tersebut lanjutan daripada sabdanya yang menjelaskan mengenai fadilat ilmu . Ia merupakan kempen Nabi S.A.W supaya umatnya mengutamakan mempelajari Ilmu pengetahuan sebagai suatu kewajiban yang dianjurkan oleh Islam
Manusia adalah makhluk yang diberi layanan istimewa oleh Allah S.W.T ,kepada mereka diutus para nabi dan rasul, untuk menjadikan manusia berilmu pengetahuan. Menjadikan manusia lebih mulia di sisiNya berbanding dengan makhluk-Nya yang lain.
Dengan taufik-Nya, wujud di kalangan manusia golongan yang yang digelar “Ulul Ilmi” (golongan yang menguasai ilmu pengetahuan).Sejak dari mula kejadian Nabi Adam a.s, manusia sudah dibekalkan ilmu pengetahuan , yang menyebabkan Iblis dengki dan irihati

ILMU
Nabi S.A.W menegaskan bahawa kehidupan seseorang tidak diberkati Allah S.W.T apabila menempuh suatu hari dalam dalam keadaan tidak bertambah ilmunya untuk mendekatkan diri kepada Allah Azza wa Jalla.
Umur adalah anugerah Allah S.W.T kepada  manusia, usia yang panjang tidak memberi erti sekiranya dalam usia yang bertambah tetapi tidak bertambah Ilmu pengetahuannya.Ilmu pengetahuan tidak datang sendiri  (kecuali kepada para nabi dan rasul), ia mesti dituntut dan dipelajari daripada guru yang selayaknya

Hanya ulama bertaraf waris para nabi menjadi guru mursyid, yang layak dan mampu memimpin manusia supaya berdamping rapat dengan Allah Azza wa Jalla
Matlamat menuntut Ilmu ialah untuk mengenal Allah S.W.T dan mengabdikan diri kepadaNya, apabila Ilmu dipelajari daripada seseorang tetapi ia tidak mendekatkan diriNya dengan  Allah S.W.T, hakikatnya ia bukan dinamakan Ilmu yang sebenar-benarnya seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W
Rasulullah S.A.W menegaskan dalam menentukan kelebihan ilmu pengetahuan ke atas perkara ibadat, sebagaimana sabdanya yang bermaksud “ Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya , laksana keutamaanku ke atas serendah rendah orang daripada kalangan sahabatku”

Perbandingan antara orang ahli Ilmu dengan dengan ahli ibadah yang dinyatakan melalui sabda Nabi S.A.W itu amatlah jelas, ibarat kelebihan Nabi S.A.W ke atas sahabatnya yang paling rendah darjatnya.
Jauh lebih baik menjadi orang yang alim berbanding denga ahli ibadat (a’bid) yang cetek ilmunya.Kerana menuntut Ilmu itu selain mereka  menambah Ilmu pengetahuan, menuntut Ilmu juga bererti ibadat kepada Allah S.W.T , ibadat dalam bentuk jihad menghindari kejahilan dengan menguasai Ilmu

Apabila seseorang menuntut Ilmu maka segala ibadat yang dilaksanakan adalah berdasarkan ilmu pengetahuan yang benar, mereka tidak tergolong  “ Ubbadun Juhhal”( ahli ibadat yang jahil)
Ahli ibadat yang tidak berpandukan Ilmu pengetahuan besar kemungkinan ibadatnya sekadar ikut ikutan. Apakah ibadat seperti itu akan diterima oleh Tuhan?Sedangkan Allah S.W.T itu Maha Baik , Dia hanya menerima ibadat yang baik berdasarkan Ilmu yang sempurna

Perhatikan bagaimana Allah S.W.T meletakkan taraf  orang berilmu itu menghampiri darjat kenabian.Sedangkan darjat yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T ialah darjat para nabi, kerana para nabi dianugerahi ilmu pengetahuan mengatasi lain-lain manusia di dunia ini

Rasulullah S.A.W menegaskan lagi berkaitan dengan kelebihan Ilmu dengan sabdanya yang bermaksud “ Kelebihan seorang alim ke atas seorang a’bid laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-bintang”
Seluruh bintang-bintang di angkasa raya akan menjadi pudar apabila muncul bulan purnama pada malam tanggal 14. Sinar bintang yang gemerlapan diatasi oleh sinar rembulan yang gemilang.

HINDARI KEJAHILAN

Demikianlah Nabi S.A.W menjadikan bulan purnama ibarat orang alim, yang sinanya terang gilang gemilang mangatasi cahaya bintang-bintang suatu perumpamaan terhadap ahli ibadat.
Meskipun seseorang itu tidak rajin belajar, tetapi jika mereka memiliki hemah yang tinggi, mereka boleh berusaha untuk menjadikan dirinya alim bagi menghindari kejahilan yang menyelimuti dirinya

Sebagaimana wasiat seorang ahli hikmah kepada anaknya yang dinukil oleh ulama, katanya  “ Hai anakku hendaklah kamu sentiasa bersama majlis orang alim.Duduk rapatlah hingga bersentuh dua lututmu dengannya. Kerana Allah S.W.T boleh mneghidupkan hati yang mati dengan “nur hikmah” yang terbit dari orang yang alim, sebagaimana Allah S.W.T menghidupkan bumi yang mati dengan air yang turun dari langit”

Ilmu dan air, dua perkara yang diturunkan oleh Allah S.W.T .Ilmu diturunkan melalui wahyu bagi menyuburkan hati (roh) manusia untuk mengesakan Allah S.W.T .
Air diturunkan untuk menghidupkan bumi sebagai sumber rezeki, untuk kepentingan manusia dan makhluk seluruhnya. Tiada bezanya antara manusia dan haiwan jika tidak menguasai ilmu (wahyu) kerana hanya Ilmu wahyu yang boleh memimpin akal dan fikiran , bagi mendekatkan jiwa manusia dengan Allah S.W.T       

Mauidzah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan